Kazanah Ilmu yang hampir tidak dipelajari oleh generasi masa kini. Ditambah dengan penggunaan tulisan jawi lama menambahkan lagi kemalasan untuk membaca dan mempelajarinya. Namun percayalah saudara ku bahawa berbagai ilmu yang sangat halus penjelasannya terdapat didalam kitab-kitab tersebut. Gali lah ilmu yang makin ditinggalkan oleh generasi akan datang.

Pustaka Kitab Lama
1KJ-113-B, N.S Central Market, Tmn Bukit Kepayang, 70200 Seremban, N. Sembilan Tel: 06-6794293, 013-2372864
Maybank: 105122072445

MENUNTUT ILMU

WAJIB MENUNTUT ILMU AGAMA DAN KELEBIHANNYA

Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya." (43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').
Hadis Kedua Puluh
20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)
20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama.
Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan; Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis, yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.
Hadis Kedua Puluh Satu
21- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ. (أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ilmu yang menjadi asas (bagi ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh agama) adalah tiga dan yang lain dari itu adalah ilmu yang lebih; - ilmu-ilmu yang tiga itu ialah: Ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya; atau "Sunnah" (hadis) yang sah datangnya dari Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang (dengan kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)"
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu ini menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
1) Ilmu-ilmu agama itu terbahagi dua:
Pertama - Ilmu-ilmu yang telah ditetapkan Tuhan menjadi Asas.
Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu.
Bahagian yang pertama - Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya, yang menjadi asas untuk dirujukkan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an yang "Mutasyabihat" (yang tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu yang dikehendaki oleh asas itu ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
(2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama) itu ialah:
Tiap-tiap ilmu pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan kandungan keduanya atau dengan yang difahamkan dari keduanya, atau pun ilmu pengetahuan yang tak dapat memberi pertolongan untuk memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan sahaja tidak perlu dipelajari, bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak memberi manfaat yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya umatnya memohon dilindungi dan dijauhi oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih lagi ilmu yang membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti ilmu sihir, ilmu nujum (Astrologi) dan sebagainya.
Hadis Kedua Puluh Dua
22- عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْفَرَائِضَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ تَعَلَّمُوا الْقُرْآنَ وَعَلِّمُوهُ النَّاسَ فَإِنِّي امْرُؤٌ مَقْبُوضٌ وَالْعِلْمُ سَيُقْبَضُ وَتَظْهَرُ الْفِتَنُ حَتَّى يَخْتَلِفَ اثْنَانِ فِي فَرِيضَةٍ لَا يَجِدَانِ أَحَدًا يَفْصِلُ بَيْنَهُمَا. (الدارمي والدارقطني)
22 - Dari Ibnu Mas'ud ra., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; - pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah Al-Qur'an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu".
(Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni)
Hadis yang kedua puluh dua ini mengandungi:
(1) Perintah belajar dan mengajar.
(2) Amaran tentang kehilangan Ilmu dan akibatnya.
Huraiannya:
(1) Perintah belajar dan mengajar:
Ilmu yang diperintahkan belajar dan mengajarnya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis ini ialah:
Pertama - Segala ilmu pengetahuan yang berhubung dengan agama.
Kedua - Ilmu yang difardukan seseorang mempelajarinya untuk bawaan dirinya sendiri dan juga untuk orang lain.
Ketiga - Ilmu yang berhubung secara khusus dengan Al-Qur'an.
Sebagai sebuah kitab suci, kalam Allah yang wajib dijaga dan dipelihara dari sebarang pindaan dan pengubahan, baik pada sebutannya mahu pun pada cara bacaannya, maka Rasulullah s.a.w. menegaskan secara khusus tentang wajibnya belajar dan mengajar ilmu yang tersebut untuk mengesahkan benarnya apa yang dijaminkan oleh Allah Taala pada ayat 9, Surah Al-Hijr, yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur'an dan Kamilah yang memeliharanya."
(2) Amaran tentang kehilangan ilmu dan akibatnya:
Oleh sebab Rasulullah s.a.w. ialah yang menyampaikan ilmu-ilmu agama dan Baginda juga seorang manusia yang akan mati maka Baginda menyuruh umatnya belajar dan mengajar segala jenis ilmu pengetahuan yang disampaikannya, kerana dengan kecuaian belajar dan mengajar maka ilmu pengetahuan akan beransur-ansur hilang, sehinggakan perkara-perkara fardu yang seorang mesti mengerjakannya pun akan berlaku padanya perselisihan dengan tidak didapati orang yang boleh menyelesaikannya.
Hadis Kedua Puluh Tiga
23- عَنْ أَبِي بَكْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اغْدُ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا أَوْ مُسْتَمِعًا أَوْ وَلَا تَكُنِ الخَامِسَةَ فَتَهْلِكَ. (البزار)
23- Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."
(Al-Bazzar)
Hadis yang kedua puluh tiga ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap ilmu agama.
Huraiannya:
Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.
Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk
memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.
Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.
Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.
Hadis Kedua Puluh Empat
24- عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ يُعْطِي وَلَنْ تَزَالَ هَذِهِ الْأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. (البخاري ومسلم)
24 - Dari Muawiyah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, nescaya dijadikan dia seorang yang beroleh fahaman yang teliti dalam perkara agama dan bahawa sesungguhnya aku ini hanyalah yang membahagikan, sedang Allah Taala jualah yang memberi dan sebahagian dari umatku ini tetap terus menjalankan agama Allah, tidak ada sesiapa pun dari kalangan orang-orang yang menyalahi mereka dapat merosakkan mereka, sehinggalah datang perintah Allah."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kedua puluh empat ini menerangkan:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama.
(2) Allah jualah yang mengurniakan ilmu pengetahuan.
(3) Sebahagian dari umat Muhammad s.a.w. tetap terus menjalankan kebenaran.
Huraiannya:
(1) Kelebihan orang yang dikurniakan fahaman yang teliti dalam perkara agama:
Di antara ilmu-ilmu agama yang utama sekali pada nilaian Allah Taala ialah ilmu agama yang telah diwahyukannya kepada Rasul-Nya. Sebabnya kerana ilmu agama ini diturunkan oleh Allah Taala dengan dua tujuan:
Pertama: - kerana mengaturkan hubungan manusia sesama manusia dan mengatur hubungan manusia dengan Allah `Azza wa Jalla. Dengan ilmu agama ini Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang akan hiduplah ia dengan saudara-saudaranya - manusia yang lain - dalam keadaan kasih mesra dan bersih suci dari perasaan hasad dengki.
Kedua - dengan ilmu agama ini juga Allah Taala mengajar mereka adab peraturan yang jika diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan Tuhan akan berjayalah ia mencapai keredhaan-Nya, iaitu dengan menjadikan dia berkehidupan bahagia di dunia dan mendapat balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak.
Jika demikian natijah mengetahui ilmu agama, maka sudah tentu kejahilan terhadapnya membawa kecelakaan di dunia dan pada hari balasan.
Hadis ini menerangkan bahawa ilmu pengetahuan yang sayugianya tiap-tiap seorang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatnya ialah ilmu pengetahuan yang membawa keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Maka sesiapa yang Allah kehendaki beroleh kebaikan, disebabkan usahanya bersungguh-sungguh mencari yang demikian, nescaya Allah jadikan dia seorang yang memahami ilmu agama Islam dengan secara mendalam kerana agama Islam dan ilmu-ilmunya adalah dari Allah untuk kebaikan umat manusia di dunia dan di akhirat, meliputi jasmani dan rohaninya.
(2) Allah jua yang mengurniakan ilmu pengetahuan:
Sebagaimana yang sedia maklum, bahawa sesuatu perkara yang dihajati tidak akan tercapai melainkan dengan menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh dan menurut peraturan yang tertentu, lebih-lebih lagi ilmu pengetahuan agama, itupun tidak cukup melainkan dengan adanya pertolongan dan limpah kurnia Allah memberikan orang itu persediaan untuk memahami makna dan maksud sesuatu masalah yang dituntut itu sekadar kemampuannya.
Rasulullah s.a.w. telah pun menyampai dan membahagikan segala apa yang diperintahkan dengan sehabis-habis daya usahanya dengan tidak mengutamakan seseorang atau sesuatu kaum dan yang lain dengan cara yang demikian sepatutnya orang-orang yang menerima itu sama keadaannya tentang faham dan pendapatnya mengenai perkara yang disampai dan dibahagikan oleh Baginda, tetapi apa yang telah berlaku adalah berlainan. Demikian pula halnya alim ulama yang menjadi waris Baginda untuk menyampaikan ilmu pengetahuan agama, mereka hanya menyampaikan dan menerangkan sekadar yang diilhamkan Allah kepada mereka untuk berbuat demikian.
Tentang adanya perbezaan faham - dalam dan ceteknya, luas dan sempitnya - di antara orang-orang yang menerima penyampaian itu mengenai rahsia sesuatu hukum syarak maka yang demikian bukanlah tanggungan pihak yang menyampaikan bahkan fahaman yang luas dan mendalam itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya menurut peraturan-Nya.
(3) Sebahagian dari umat Muhammad S.A.W. tetap terus menjalankan kebenaran.
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. memberikan berita gembira tentang kebenaran agama Islam - dengan sifatnya agama yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kebaikan jasmani dan rohani serta kebahagiaan dunia dan akhirat - tetap terpelihara sekalipun dicuaikan dan tidak dihargai oleh golongan-golongan yang hanya mementingkan kebendaan semata-mata sebagaimana yang ternyata pada masa akhir-akhir ini.
Agama Islam yang demikian keadaannya tetap dijalankan oleh sebahagian dari umatnya dengan tidak tercacat bawaan mereka oleh sebarang angkara dari pihak yang menyalahinya sehingga datang perintah Allah `Azza wa Jalla mematikan sekalian orang yang beriman dan tinggallah sahaja orang-orang yang tidak tahu menyebut nama "Allah" pun, maka pada zaman mereka inilah akan berlakunya hari qiamat.
Hadis ini juga memberi semangat dan menjamin keselamatan orang-orang Islam yang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya dengan sempurna.
Hadis Kedua Puluh Lima
25- عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ. (البخاري ومسلم)

25 - Dari Abu Musa Al-Asy'ari r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bandingan apa yang Allah utuskan aku membawanya dari hidayat petunjuk dan ilmu pengetahuan, adalah sama seperti hujan lebat yang menimpa bumi, maka terdapat sebahagian dari bumi itu tanah yang subur, yang menerima dan menyedut air hujan itu, lalu menumbuhkan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang banyak dan terdapat sebahagian daripadanya tanah-tanah yang keras yang hanya menampung air (tidak menyedutnya), maka Allah menjadikan dia bermanfaat kepada manusia, lalu mereka minum dan memberi minum serta mereka menanam (dan menjirus tanaman mereka); dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah-tanah yang lain, yang keadaannya hanyalah tanah-tanah rata yang keras yang tidak lekat air (sedikit pun), dan tidak dapat menumbuhkan rumput. Demikianlah orang yang mempunyai fahaman yang teliti dalam hukum-hukum agama Allah dan (bandingan orang) yang beroleh manfaat dari apa yang Allah utuskan aku membawanya, lalu ia mengetahuinya dan mengajarkannya kepada orang lain dan juga bandingan orang yang tidak hiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan) itu dan tidak mahu pula menerima pertunjuk Allah yang aku diutuskan membawanya."
(Bukhari, Muslim dan Nas'ie)
Hadis yang kedua puluh lima ini menerangkan:
Kelebihan orang yang mengambil dan memberi manfaat dengan ilmu agama dan orang yang sebaliknya.
Huraiannya:
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa jalan pimpinan dan pertunjuk serta ilmu pengetahuan kepada umat manusia. Apa yang dibawa oleh Baginda itu bukan semua orang menerimanya dan bukan semua menolaknya. Untuk menjelaskan hal yang demikian Baginda membuat perbandingan yang bermaksud:
Hati manusia dengan ilmu pengetahuan adalah ibarat bumi dengan air. Ada sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia menyedutnya dan menumbuhkan tanaman yang berguna kepada makhluk-makhluk yang hidup. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu dan menghafaznya serta ia menerima kesan dan pengaruh ilmu itu, yang menjadikan dia beramal dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain. Hati manusia yang sedemikian ini adalah sebaik-baik hati yang berhak dipuji dan dihormati.
Ada pula sebahagian dari bumi yang tanahnya apabila ditimpa hujan ia akan menampung airnya dan memeliharanya dari meresap hilang dan dengan itu dapat digunakan oleh makhluk-makhluk yang lain, tetapi tanah itu sendiri tidak mendapat manfaat daripadanya dan tidak menumbuhkan tanaman; ia hanya dapat menumpang air untuk faedah makhluk-makhluk yang memerlukannya. Demikian juga halnya hati manusia, ada di antaranya yang menerima ilmu pengetahuan dan menghafaznya dan dapat pula mengajarkannya kepada orang lain, tetapi ia sendiri tidak mendapat faedah beramal dengannya. Manusia yang hatinya demikian kalau ia telah berbuat baik dari segi menghafaz dan menyampaikannya kepada orang lain, tetapi ia telah melakukan perkara yang buruk, kerana ia tidak beramal dengannya, sedang tujuan beroleh ilmu ialah untuk beramal menurutnya.
Di antaranya ada pula bumi yang tanahnya tidak beroleh faedah dari air dan tidak dapat menahannya serta tidak dapat menumbuhkan sebarang tanaman. Demikianlah pula hati manusia ada di antaranya yang tidak dapat menerima ilmu pengetahuan dan dengan itu tidak dapat beramal dengannya. Hati manusia yang demikian keadaannya adalah sejahat-jahat hati dan seburuk-buruknya, kerana ia tidak mempunyai bahagian langsung dalam kebaikan, sama ada ilmu pengetahuan atau amal perbuatan, bahkan ia seperti haiwan, bahkan haiwan pun lebih baik lagi, kerana haiwan itu tidak akan mendapat balasan seperti yang akan didapati oleh manusia yang demikian keadaannya.
Kesimpulannya, hati manusialah yang wajib dibaiki supaya senang menerima apa yang telah dibawa oleh Rasulullah s.a.w. demi untuk mencapai kebahagiaan.
Hadis Kedua Puluh Enam
26- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ. (مسلم وأبو داود والترمذي)
26 - Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang menolong memberi nafas baharu kepada seseorang mukmin yang mengalami kesusahan yang menyesakkannya dari kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah menolong melegakan kesusahan yang menyesakkannya dan kesusahan-kesusahan hari qiamat dan sesiapa yang menolong memudahkan susah payah seseorang, nescaya Allah menolong memudahkan susah payahnya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keaipan seseorang Islam, nescaya Allah menutup keaipannya di dunia dan di akhirat dan Allah tetap memberikan pertolongan yang diperlukan oleh seseorang, selagi orang itu memberikan pertolongan kepada saudaranya dan sesiapa yang berusaha menjalankan sebarang cara yang menyampaikannya mencapai ilmu pengetahuan, Allah akan memberi kemudahan kepadanya dengan usahanya itu untuk mendapat jalan yang membawanya ke Syurga dan tidak berhimpun sesuatu kaum dalam salah satu tempat dan tempat-tempat (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca kitab Allah Al-Qur'an dan mentadarusnya sesama sendiri melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat, serta mereka dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya".
(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Hadis yang kedua puluh enam ini menerangkan tentang:
(1) Galakan memberi pertolongan.
(2) Balasan usaha menuntut Ilmu.
(3) Rahmat dan pujian Tuhan didapati oleh orang-orang yang berhimpun membaca dan mengulangkaji kitab Allah.
(4) Amalan seseorang sahajalah yang menentukan maju mundnrnya.
Huraiannya:
(1) - Galakan memberi pertolongan.
Tiap-tiap orang dalam alam kehidupan dunia ini sudah tentu mempunyai hajat-hajat dan kemahuan untuk mendapat manfaat dan mengelakkan mudarat, sedang hajat-hajat dan kemahuan itu sebahagian besarnya tidak dapat dicapai melainkan dengan jalan bantu membantu dan tolong menolong antara satu dengan yang lain.
Keadaan yang demikian, tidak terlepas daripadanya seseorang pun, walau pun ia dari golongan yang senang lenang atau yang mempunyai kuasa. Oleh itu maka hidup secara bermasyarakat adalah suatu tabiat semula jadi umat manusia.
Maksud hadis ini di antara lain menerangkan bahawa: Memberikan pertolongan kepada orang yang memerlukannya sama ada pertolongan itu kecil atau besar, amatlah baik kesudahannya kerana ia bukan sahaja akan mendapat pertolongan dan orang lain kelak, bahkan Allah Aza wa Jalla tetap memberikan pertolongan yang sejenis dengan perbuatannya yang baik itu - bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Maka alangkah bahagianya orang yang mendapat pertolongan dari Allah (S.W.T.) pada hari yang tidak ada sesiapa pun dapat memberikan sebarang pertolongan?
Di antara pertolongan yang sangat-sangat digalakkan ialah:
Pertama - Menolong meringankan penderitaan dan memberi nafas baru kepada mana-mana orang mukmin yang menanggung sesuatu kesusahan yang menyesakkannya dan soal-soal hidup dalam alam dunia ini.
Sebenarnya pertolongan itu tidak terhad kepada orang-orang mukmin sahaja bahkan umum kepada tiap-tiap seorang manusia yang tidak memusuhi Islam dan juga kepada tiap-tiap haiwan yang lain dan binatang-binatang yang dibenarkan atau disuruh oleh agama membunuhnya.
Kedua - Menolong memberi kemudahan kepada sesiapa jua yang mengalami kepayahan, yang dituntut oleh Islam menolongnya.
Misalnya: Orang yang menanggung hutang sedang ia tidak dapat membayarnya pada masa yang ditetapkan, maka orang yang demikian keadaannya dikehendaki menolongnya dengan jalan dibebaskan dari semua atau dari sebahagian hutang yang ditanggungnya atau pun diberi tempoh yang lain untuk memudahkan ia membayarnya.
Atau seseorang Islam yang sedang mengalami susah payah dalam sesuatu masalah agama, maka dikehendaki menolongnya dengan satu fatwa yang melepaskannya dan kesusahannya itu sekalipun fatwa itu tidak berdasarkan mazhab yang biasa diamalkannya.
Ketiga - Menolong menutup kesalahan atau keaipan orang Islam.
Menurut beberapa buah hadis, bahawa sesiapa yang mendedahkan keaipan saudaranya, nescaya Allah akan mendedahkan keaipannya sekalipun di rumahnya sendiri.
Sayugia disebut, manusia itu dua jenis:
(a) - Orang yang tidak terkenal melakukan sesuatu maksiat, maka orang yang demikian, kalaulah ia terlanjur melakukan sesuatu perkara yang buruk, maka dialah orang yang dikehendaki diberi pertolongan menutup keburukan atau keaipan yang dilakukannya dan tidak harus didedahkan atau diperkatakan, kerana perbuatan yang demikian adalah perbuatan mengumpat yang nyata haramnya.
(b) - Orang yang terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat, yang tidak menghiraukan apa yang dilakukannya dan tidak pula mengambil indah kepada apa yang dikatakan kepadanya maka orang yang demikan keadaannya dituntut membongkar kesalahannya supaya ia menerima hukuman.
Pertolongan menutup kesalahan dan keaipan seseorang Islam itu adalah dengan beberapa syarat:
Pertama - kesalahan yang dilakukan itu berhubung dengan hak Allah Taala.
Kedua - kesalahan itu dilakukan pada masa yang lalu.
Ketiga - kesalahan itu dilakukan oleh orang yang tidak terkenal berperangai buruk dan selalu melakukan maksiat.
Keempat - orang itu tidak menjadi saksi atau rawi hadis atau pemegang amanah dan lain-lainnya dan orang-orang yang semestinya bersifat adil dan amanah.
Kesimpulannya: Orang yang memberikan pertolongan yang tersebut, tetap beroleh pertolongan Allah sebagai balasan yang sebaik-baiknya.
(2) - Balasan usaha menuntut ilmu:
Oleh kerana jalan-jalan dan cara bagi mencapai ilmu agama itu banyak, yang menghendaki seseorang penuntut berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan membaca, menulisnya, menghafaznya dan mengkaji serta saling ingat-mengingati sesama penuntut, maka Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada orang yang menjalankan usaha itu, bahawa Allah Taala akan memudahkan baginya segala jalan yang menyampaikannya ke Syurga.
(3) Kelebihan berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya:
Berhimpun atau berjemaah dalam mengerjakan sesuatu amal ibadat, sangat-sangat digalakkan oleh Islam; di antaranya berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya, kerana Rasulullah s.a.w. menggalakkan umatnya berbuat demikian dengan menyatakan bahawa mereka diberi perasaan ketenangan hati, dicucuri rahmat dalam segenap keadaan, dilingkungi oleh malaikat-malaikat berkat dan puji oleh Allah Taala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia di sisi-Nya.
Keadaan yang demikian sangat-sangat dituntut untuk memimpin seseorang ke jalan mencapai keselamatan di dunia dan di akhirat, kerana sebahagian besar dari kacau bilau dan perbuatan maksiat adalah akibat dari dorongan jiwanya yang tidak ada perasaan ketenangan dan tidak dicucuri oleh rahmat Allah; dan sebaliknya perbuatan-perbuatan baik yang menatijahkan keselamatan adalah dari jiwa yang bersih dan tenang serta mendapat cucuran rahmat Allah `Aza wa Jalla.
Empat kelebihan yang diberikan kepada orang-orang yang berhimpun membaca Al-Qur'an dan mentadarusnya itu diberikan juga kepada orang-orang yang berhimpun dalam majlis zikir (majlis menyebut dan mengingati Allah), sebagaimana yang tersebut dalam hadis Muslim.
Hadis Muslim ini, menurut pendapat Al-Saghani dalam syarh "Masyariq al-Anwar" adalah menjadi dalil tentang kelebihan tiap-tiap kumpulan yang berhimpun kerana Allah membaca Al-Qur'an, mendengar hadis Rasulullah s.a.w. atau mempelajari ilmu agama.
Kelebihan berhimpun untuk "Zikir Allah" itu diterangkan pula dalam sebuah hadis Bukhari dan Muslim yang ringkasan maksudnya seperti berikut:
Bahawa Allah Taala mempunyai Malaikat yang sentiasa berjalan di merata-rata tempat mencari kumpulan yang berhimpun untuk berzikir, bertasbih, bertakbir dan bertahmid; apabila mereka berjumpa kumpulan ahli zikir itu mereka panggil memanggil sesama sendiri lalu mengerumuni kumpulan itu serta menaunginya dengan sayap mereka berlapis-lapis hingga ke langit dunia. Setelah mereka mengadap Tuhan dan menjawab beberapa pertanyaan, maka Tuhan menyatakan kepada mereka dengan firman-Nya: "Hendaklah kamu menjadi saksi bahawa Aku telah mengampunkan dosa mereka sekaliannya." Mendengarkan firman Allah itu, salah satu di antara Malaikat yang tersebut berkata: "(Ya Tuhan Kami!) dalam kalangan ahli zikir itu ada seorang yang hanya datang kerana satu hajat yang lain, lalu duduk dengan mereka." Allah Taala menjawab: "Kumpulan itu ialah orang-orang yang sempurna kebaikannya, dengan kesempurnaan mereka tidak akan hampa orang yang duduk bersama-sama mereka".
(4) Amalan seseorang jualah yang menentukan maju mundurnya:
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. menegaskan: Bahawa seseorang yang ingin membela nasibnya wajiblah ia belajar dan berusaha serta beramal; tidak harus ia bergantung kepada keadaan nasab keturunannya, kerana Tuhan telah berfirman yang maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap seorang, beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan apa yang mereka telah kerjakan"; demikian juga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mengingatkan kaum kerabatnya bahkan buah hatinya yang dikasihi, Sayidatina Fatimah, r.a., supaya masing-masing menebus diri dari azab seksa, dengan amal taat yang sempurna, kerana Baginda tidak berkuasa menolak sesuatu pun dari azab seksa Tuhan itu.
Sayugia direnung dan diteliti isi hadis ini, kalau Rasulullah s.a.w. sendiri telah menyatakan tidak sanggup mengelakkan azab seksa dari anaknya Sayidatina Fatimah r.a., kalau ditakdirkan cuainya dari beramal, pada hal Rasulullah s.a.w. ialah Rasulullah dan Sayidatina Fatimah ialah anaknya yang dikasihi, maka betapalah pula orang yang cuai menjalankan perintah beramal dengan mengharapkan kelebihan nasab keturunannya atau kebangsawanannya dan betapa pula halnya orang yang tergamak menyanggup memberi pertolongan, pada "hari seseorang tidak dapat memberikan pertolongan sedikit pun kepada orang lain dan segala perkara pada hari itu tertentu bagi Allah! "

No comments:

Post a Comment