al-Jawahir al-Saniyyah fi Syarh al-‘Aqaid al-‘Aliyyah wa Ahkaam al-Fiqh al-Mardhiyyah wa Thoriiq Suluuki at-Thoriqah al-Muhammadiyyah
( الجواهر السنية في شرح العقائد العلية وأحكام الفقه المرضية وطريق سلوك الطريقة المحمدية )
Harga Rm6.50
Karya yang dianggap muktabar di kalangan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ini merupakan sebuah karya al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani al-Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله. Menurut Syaikh Daud al-Fathani karya ini, beliau selesai menyusunnya pada waktu Dhuha, hari Itsnain, 16 Jamadilawwal 1252H/1836M, di Thaif.
Di dalam kitab ini Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani رحمه الله ada menjelaskan bahawa jalan yang sebenarnya itu hanya satu sahaja iaitu mengikut perjalanan Ahlus Sunnah wal Jamaah kerana keempat-empat imam itu adalah muafakat pada usuluddin walaupun terdapat pertikaian pada furu’ syariah.
Mengenai orang yang mengatakan bahwa Allah Ta’ala bertempat, beliau berkata;
“ Dan barangsiapa menghinggakan dzat Allah Ta’ala pada tempat maka tiada syak ia kafirnya seperti katanya Allah Ta’ala itu terhingga di atas langit atau pada bumi dan barangsiapa menyabitkan bagi Allah jihat (arah) dengan ketiadaan dihinggakan dengan tempat yang tertentu maka tiada kafir, tetapi fasiq jua seperti berkata ia, Allah pada langit atau pada bumi dengan tiada terhingga pada tempat dan atas yang demikian itu …
(Kata Imam) Syafi’e نور الله ضريحه barangsiapa meninggalkan 4 perkara ini sempurna imannya dian iaitu kam (كم) dan kaif (كيف) dan mata (متى) dan aina (أين). (Maka adapun) ‘kam’, maka ditanyakan dengan dia menuntut kenyataan bilangan, maka jika dikata orang bagimu ‘كم الله’ yakni berapa Allah? Maka jawab olehmu Waahid yakni Esa pada dzatNYa dan pada sifatNya dan pada af’alNya. (Dan kaif) itu ditanya dengan dia daripada kaifiat, maka jika dikata orang bagimu ‘كيف الله؟’ yakni betapa Allah? Maka jawab olehmu tiada mengetahui seorang akan haqiqat dzat Allah melainkan Ia jua. (Dan mata) itu tiada dengan Dia daripada zaman. Maka jika dikata orang bagimu ‘متى الله؟’ ertinya manakala di dapat Allah? Maka jawab olehmu Allah itu awalNya tiada permulaan dan akhirnya tiada kesudahan. (Dan aina) tiada dengan Dia daripada makan (tempat). Maka jika dikatakan orang bagimu ‘أين الله؟’. Maka jawab olehmu, Allah itu tiada bertempat dan tiada dilalu atasNya masa, kerana zaman dan makan itu baharu keduanya …”
Menurut beliau رحمه الله juga, hendaklah menjauhkan diri daripada membenci kepada sahabat-sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم, kerana tiada guna sekalian amal jika iktikadnya demikian itu. Bahawa sekalian sahabat Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم dan para tabien adalah seumpama bintang-bintang yang dijadikan pedoman di darat dan laut bagi orang melakukan perjalanan (musafir).
Kata beliau رحمه الله, pada halaman 34 – 35;
“ Ketahui olehmu! Hendaklah kamu jauhkan daripada bidaah seperti kaum yang sesat. Orang yang menyalahi Ahlus Sunnah iaitu bidaah namanya. Selain dari bidaah wajib dan bidaah sunat, lontarkanlah ia daripada dirimu ”.
“Janganlah engkau dengar banyak perkataannya, kerana mereka orang yang buta mata hatinya iaitu tidak beroleh nyata melihat rahsia ilmu melainkan dia adalah di dalam kesesatan. Tiap-tiap yang mempunyai bidaah itu kalau dia mengaku berpengetahuan tinggi martabatnya seperti bintang Zuhal sekalipun janganlah didengar perkataannya itu ”.
No comments:
Post a Comment